msarenja

ADTEC Batu Pahat Juara Keseluruhan JOYCE 2022


ADTEC Batu Pahat, 4 September 2022
- Pelajar ADTEC Batu Pahat, saudara Danish Iskandar bin Suhaimi mencipta kejayaan membanggakan apabila dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan Pertandingan Kemahiran Johor Youth Skills Competition (JOYCE) 2022. Sebelum itu, beliau berjaya memenangi pingat Emas bagi kategori Mekatronik yang melayakkan beliau untuk membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,000 beserta piala dan sijil kecemerlangan. Hadiah kepada pemenang telah disampaikan oleh Yang Amat Berhormat Dato Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor dalam Majlis Perasmian Penutup Jelajah TVET Johor yang berlangsung pada 29 Ogos 2022 di Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang, Johor, baru-baru ini. 

ADTEC Batu Pahat menghantar seramai empat orang pelajar untuk menyertai pertandingan Johor Youth Skills Competition 2022 dimana keempat-empat pelajar tersebut telah bertanding dalam kategori Mekatronik. Dua daripada mereka adalah pelajar Kursus Diploma Teknologi Mekatronik manakala dua lagi daripada Kursus Diploma Teknologi Elektronik. Saudara Danish Iskandar adalah merupakan pelajar semester 3 daripada Kursus Diploma Teknologi Mekatronik dan beliau dilatih oleh pengajar beliau iaitu Encik Mohd Fadzlisyam bin Sairan. 

Pertandingan Johor Youth Skills Competition 2022 diadakan bersempena dengan program Jelajah TVET Johor Tahun 2022. Pertandingan ini dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Johor melalui Unit Strategik Modal Insan Johor bersama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK). Terdapat empat bidang yang dipertandingkan iaitu Web Design, Graphic Design, Mechatronic dan Mobile Robot. 

Tahniah diucapkan kepada pemenang dan semua peserta yang bertanding serta pihak penganjur. 

 

-- Gambar --