Begitu luar biasa! Terlakar dalam sejarah apabila seramai 20 orang pelajar telah menerima Sijil Anugerah Pengarah kerana telah mendapat keputusan cemerlang pada semester sesi 1/2023 yang lalu. 20 orang pelajar tersebut daripada semester 5, Diploma Teknologi Elektronik, Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Batu Pahat memperolehi Purata Markah Keseluruhan (PMK) 3.5 ke atas itu telah menaikkan nama mereka dalam dunia TVET dan menjadi inspirasi kepada pelajar-pelajar lain.
Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Batu Pahat merupakan salah satu institusi TVET di Malaysia di bawah tatakelola Kementerian Sumber Manusia yang menyediakan program khusus bagi memenuhi keperluan industri.
Salah seorang pelajar tersebut iaitu Muhammad Arif Danieal berkongsi antara punca kejayaan mereka adalah berkat doa dari ibu bapa dan ahli keluarga yang banyak membantu. Antara tips lain yang menjadi salah satu punca kejayaan mereka adalah :
- Menjaga adab dan memohon restu dari ibu bapa dan keluarga serta pengajar
- Memberi komitmen yang penuh dalam membuat semua tugasan
- Mengulangkaji dan berkongsi idea dengan sesama rakan sekuliyah
- Mengambil ruang dan peluang jika ditawarkan menyertai pertandingan mewakili ADTEC Batu Pahat
Selain itu beberapa orang pelajar di antara mereka juga terlibat dengan pertandingan-pertandingan di peringkat kebangsaan bagi mewakili ADTEC Batu Pahat antaranya adalah Pertandingan World Skills Malaysia Belia (WSMB), Pertandingan Youth-Robot Challenge Y-Roboc 2023 dan banyak lagi. Ini dapat menaikkan semangat mereka untuk terus belajar dan mengaplikasikan kemahiran yang mereka telah pelajari sepanjang menimba ilmu di ADTEC Batu Pahat. Ada juga antara mereka yang terlibat dengan kepimpinan pelajar iaitu Jawatakuasa Majlis Perwakilan Pelajar di mana bakat kepimpinan mereka dapat diasah dan boleh diaplikasikan dalam dunia pekerjaan sebenar.
Secara umumnya, pelajar-pelajar yang melanjutkan pelajaran dalam dunia Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) merupakan alternatif kepada pendidikan akademik yang memberikan penekanan kepada pelajar tentang kemahiran teknikal dan praktikal bagi memenuhi keperluan industri. Moga terlahirlah ramai pelajar graduan TVET yang menjadi aset negara dalam industri Malaysia memartabatkan lagi TVET di mata dunia.
Nukilan,
Ts. Nurul Hana binti Abu Hassan
Pengajar
Bahagian Teknologi Elektronik
Jabatan Elektrik dan Elektronik
Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Batu Pahat
-- Gambar --